Namun begitu, beliau tetap memaafkan ‘berita bohong’ yang tersebar di alam ‘maya’ itu.
“Saya maafkan orang yang mendoakan saya sakit dan mati. Dia buat fitnah, saya yang dapat pahala,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, berkata demikian ketika mengulas ‘fitnah’ yang tersebar di internet bahawa beliau kini tenat kerana menderita barah hati tahap empat.
“Saya memang tidak ada penyakit kanser hati, tetapi sakit hati dengan orang yang buat fitnah ini. Bab sakit mati ini tidak boleh dibawa bergurau apatah lagi jika pembawa fitnah itu orang Islam.
“Saya perasan berita palsu ini disebarkan sejak pilihan raya kecil (PRK) DUN Sungai Limau, Kedah untuk mengalih tumpuan dan perhatian orang ramai terhadap PRK itu.
“Saya sangkakan ia akan berakhir selepas tamat PRK, namun ia ternyata meleset malah berita saya tenat dan hampir mati semakin hebat disebarkan,” katanya yang baru pulang menziarah kematian di Paka ketika dihubungi di sini, semalam.
Satiful Bahari berkata, penarikan dirinya daripada pencalonan sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat pada pemilihan parti itu akhir bulan ini juga menyebabkan pihak tertentu menyebarkan dakwaan tidak benar mengenai kesihatan dirinya.
“Saya dicalonkan untuk bertanding jawatan itu, tetapi saya menarik diri kerana sudah memegang banyak jawatan di peringkat negeri dan DUN. Oleh itu saya mahu menumpukan perhatian kepada jawatan dan tugas sedia ada.
“Penarikan diri saya bukan kerana saya menderita barah hati seperti digembar gemburkan. Tetapi tak mengapalah, saya terima saja orang fitnah saya dan saya tidak berhasrat membuat laporan polis,” katanya yang turut mengakui tidak mengenali individu yang menyebarkan berita palsu itu.
Laporan di beberapa laman blog mendakwa Satiful Bahari kini berada dalam keadaan tenat dan boleh mati pada bila-bila masa akibat penyakit barah hati tahap empat.
Laman blog itu turut menulis kenyataan yang mempersoalkan bagaimana PAS memilih seseorang yang menghidap penyakit dan tenat sebagai calon bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Mei lalu dan Barisan Nasional (BN) serta PAS kini perlu bersedia untuk menghadapi PRK.http://www.buletinonline.net
Post a Comment