Home » , , » Isu harga ayam: Hasan Malek elok berfikir dahulu sebelum berkata-kata - Aspan Alias

Isu harga ayam: Hasan Malek elok berfikir dahulu sebelum berkata-kata - Aspan Alias

Written By Unknown on Wednesday, 17 July 2013 | 09:34

Setiap hari raya, isu ayam berkumandang khususnya di pertengahan bulan puasa. Kali ini, isu ayam menjadi isu lebih awal lagi apabila MenteriPerdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek membuat kenyataan yang melucukan tetapi membayangkan betapa malasnya beliau berfikir sebelum mengeluarkan kata-kata.
Ayam adalah makanan yang paling murah berbanding dengan ikan dan daging. Itulah sebabnya isu ayam ini sentiasa timbul setiap musim perayaan. Isu ini adalah biasa kerana rakyat kita belum lagi sampai ke tahap rakyat berpendapatan tinggi seperti yang dijanjikan perdana menteri dan timbalannya.  Bilakah rakyat berpendapat tinggi itu tercapai hanya Tuhan sahajalah yang mengetahuinya.
Hasan menimbulkan kemarahan ramai orang kerana beliau menjawab seperti seorang yang terlalu malas untuk berfikir, mungkin kerana terlalu letih menjalankan ibadah puasa. Beliau meminta orang ramai menukar menu makanan. “Jika ayam mahal, jangan makan ayam”, katanya. Beliau meminta orang ramai cari makanan yang lebih murah lagi, tetapi tahukah beliau ayam itu yang paling murah jika dibandingkan dengan ikan dan daging.
Saya sendiri terasa kenaikan harga ayam itu, kadang-kala sehingga RM9 sekilogram. Jika kita ikut pandangan menteri ini, pilihan yang ada hanya sayur-sayuran hijau atau jika mahu yang lebih ‘solid’ sedikit tidak lain dari memasak gulai ubi dan keledek sahaja. Orang ramai terutama yang tua-tua akan teringat pula di zaman penjajahan Jepun dahulu yang orang kampung rata-rata hidup dengan memakan ubi kayu sahaja.
Malahan lagu rakyat di zaman Jepun bagi orang Negeri Sembilan masih lagi saya ingat kerana dinyanyikan oleh orang-orang tua kampung saya yang tidak berapa jauh dari kampung Hasan ini. Lagu rakyat itu lebih kurang begini senikatanya:
“Den tembak den potek terigo (trigger), Den dapek seekor ayam donak, Den boghi kepado sajan mejo, Den naik pangkat lance korporal.
Ompek tahun tigo boleh hari, Jopun datang memerintah nogoghi, Ghamai oghang yang bongkak kaki, Kerano banyak makan ubi.”
Kenyataan Menteri Hasan ini sebenarnya tidak mengejutkan saya kerana saya mempunyai lama pengalaman bersama beliau menganggotai Jawatankuasa UMNO Bahagian dahulu. Saya bukannya hendak menuduh beliau itu lemah. Tetapi saya hanya hendak menyatakan  dia sememangnya 100 peratus tenaganya diperguna untuk mencari jalan untuk mendapat tempat seperti yang beliau dapati sekarang ini.
Hasan tidak boleh dipersalahkan kerana kesalahan atau kesilapan beliau itu. Yang salahnya ialah pucuk pimpinan yang memilih beliau untuk dipertanggungjawabkan dengan tugas berat ini. Hasan  sememangnya begitu dan kenyataan beliau itu tidak lagi menjadi kesalahan kepada orang seperti saya. Kita tidak boleh memberikan harapan terlalu tinggi kepada menteri ini dan saya tidak mahu memberikan komen lebih daripada ini terhadap beliau.
Tetapi takkanlah isu seperti ini mendapat jawapan segila ini dari beliau yang sudah begitu lama dan veteran dalam parti. Takkanlah tidak dapat mempelajari sedikit ‘wisdom’ sebagai seorang yang sudah begitu panjang usianya.
Hanya saya memberi ingatan kepada menteri ini, kalau hendak bercakap elok berfikir dahulu. Biarlah lambat sedikit keluar kata-katanya, tetapi berfikir dahulu, supaya tidak menyakitkan hati rakyat yang sedang sedia merasa kesakitan dalam hidup ini.
Selepas ini saya berharap kenyataan seperti ini tidak akan berulang lagi, kerana itu adalah kenyataan yang terlalu ‘unnecessary’ dan memalukan mereka yang mendukung beliau selama ini. Kepada Hasan, "you have achieved your ultimate, try your best to be a real Minister, rather than acting like one"
Itu sahaja komen saya. Saya memberikan komen ini kerana ramai yang meminta saya memberi komen  sebab saya adalah orang Kuala Pilah. - aspanaliasnet.blogspot.com, 16 Julai, 2013.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Aspan Alias
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. String of Analysis - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger