Home » , , , , » RM65 juta untuk bawa balik 2,105 pakar

RM65 juta untuk bawa balik 2,105 pakar

Written By Unknown on Friday, 19 July 2013 | 02:43


Anis Nazri,19 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Kos setiap pakar yang dibawa ke negara ini melalui program Talent Corp berjumlah RM30,000 seorang, dengan sejumlah peruntukan sebanyak RM65 juta bagi tiga tahun ini.

Biarpun dengan peruntukan sebanyak itu, hasilnya hanya sejumlah 2,105 orang pakar sahaja yang dibawa masuk ke negara ini, tegas Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong, kepada media semalam.

Bercakap pada satu sidang media di lobi parlimen, Chin Tong berpandangan kerajaan perlu mewujudkan satu suasana di mana pakar-pakar berebut untuk balik ke Malaysia.

"Namun, keadaan negara kita sekarang, pekerja asing tanpa kemahiran berebut-rebut datang ke negara kita, manakala pakar kita keluar bekerja di luar," kata beliau.

Sehubungan itu, jelas Chin Tong, sudah sampai masanya kerajaan mempertimbangkan sama ada pendekatan Talent Corp ini masih bertepatan atau sebaliknya.

Perkara tersebut turut disokong Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan yang menegaskan perkara ini bukan sahaja urusan kerajaan untuk memanggil balik pakar kita ke negara ini, sebaliknya berlaku 'brain drain', di mana pakar dalam negara ini mahu keluar ke negara lain.

"Fenomena 'brain drain' ini apabila pakar dalam negara mahu keluar ke negara lain, mungkin kerana mendapat peluang yang lebih baik.  Masalah negara kita hari ini, bukan sahaja mengalami kesulitan untuk membawa balik pakar ke negara kita, untuk menyekat 'brain drain' ini pun kita tidak mampu," kata beliau kepada media.

Justeru, Takiyuddin mengharapkan kerajaan berusaha mewujudkan suasana pekerjaan yang kondusif, khususnya di bidang profesional seperti perubatan, kejuruteraan agar pakar di bidang itu tidak keluar, di samping membawa masuk pakar dari luar ke negara ini.

Terdahulu, Chin Tong meminta Perdana Menteri menyatakan statistik terperinci peserta program Talent Corp bagi tahun 2011, 2012 dan 2013 ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, semalam.

Talent Corporation Malaysia Berhad (Talent Corp) telah menerima geran pelancaran sejumlah RM30 juta pada 2011, manakala penyaluran peruntukan sebanyak RM20 juta bagi 2012, dan RM15 juta bagi 2013.

Peruntukan tersebut bagi menampung kos operasi termasuk perbelanjaan emolumen, kos permulaan penubuhan serta kos pejabat.

Talent Corp yang beroperasi bermula Januari 2011 ditubuhkan untuk mengenalpasti, menyelaras dan melaksanakan inisiatif bagi memenuhi keperluan untuk membangun dan menarik modal insan dan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang diperlukan oleh negara.

Talent Corp juga berperanan menjalin kerjasama erat dan berkesan dengan pakar global, syarikat terkemuka serta agensi kerajaan yang berkaitan dalam menggerakkan agenda modal insan bagi menyokong aspirasi Malaysia untuk menjana ekonomi berpendapatan tinggi selaras dengan Program Transformasi Ekonomi dan mencapai taraf negara maju menjelang tahun 2020.
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/20852-rm65-juta-untuk-bawa-balik-2105-pakar
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. String of Analysis - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger