Kumpulan Bertindak Menentang Pembinaan Empangan bersama Gerakan Hak Asasi Orang Asal Malaysia mendakwa Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud mencabul hak asasi Orang Asli Bumiputera di negeri itu.
Kumpulan gabungan 80 badan bukan kerajaan (NGO) di seluruh Malaysia itu turut menyatakan pendirian tegas membantah projek empangan di Baram dan Murum.
"Kerajaan bukan saja bertindak merampas tanah Bumiputera Sarawak bagi projek pembalakan malah tiga projek mega pembinaan empangan menjejaskan kehidupan Orang Asli," dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan.
Gabungan NGO tersebut antara lain mendesak kerajaan dan juga pemaju menghentikan pembakaran rumah panjang milik komuniti Penan di Murum.
"Kerajaan, pemaju atau mereka yang terlibat perlu mengadakan rundingan secara adil dan terbuka dengan komuniti Penan tanpa ada unsur ugutan, paksaan, korupsi atau salah guna kuasa.
"Kerajaaan juga perlu menghentikan percubaan membahagi dan memisahkan komuniti tersebut kepada kelompok kecil dan menghentikan segala kerja berkenaan kaji selidik dan pembinaan Empangan Baram," kata NGO itu.
Pada masa sama, kumpulan NGO berkenaan menuntut Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tidak mengadakan sekatan jalan raya.
Ia merujuk kepada protes oleh Orang Asli dan Baram dan Murum sebagai bantahan terhadap kegagalan kerajaan Sarawak memberikan pampasan ganti rugi.
Protes itu juga menuntut pemaju menghentikan apa saja kerja pembinaan di empangan secara serta-merta.
Gerakan Hak Asasi Orang Asal Malaysia menyifatkan penempatan semula secara paksa itu sama seperti penempatan “Kampung Baru” ketika zaman darurat kerana ia tidak ubah seperti kem pelarian.
"Penempatan tersebut juga terletak jauh daripada kawasan hutan yang pernah mereka diami manakala permohonan komuniti Orang Asli untuk mendapatkan lebih banyak kemudahan sekolah dan klinik kerajaan masih belum ditunaikan.
"Kemudahan yang disediakan dibina secara tidak teliti dan sambil lewa serta kebanyakannya berada dalam keadaan kotor dan tidak selamat," katanya. – 8 November, 2013.
Post a Comment