Semalam, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan memgakui pernah menulis surat kepada pemimpin tertinggi atau pengerusi GLC supaya membelanjakan peruntukan iklan mereka kepada akhbar itu.
"Perkara ini menunjukkan pengisian ataupun kandungan dalam Utusan Malaysia itu sendiri tidak menarik.
"Orang ramai tidak suka membaca berita fitnah dan berat sebelah," kata Ahli Parlimen Bukit Bendera itu kepada The Malaysian Insider.
Menyifatkan akhbar Utusan Malaysia sudah tidak lagi relevan kerana bermotifkan politik, Zairil bertegas corak penulisan dibawa akhbar tersebut tidak kena dengan peredaran zaman di mana rakyat mahukan berita yang lebih segar dan positif.
"Kandungan mereka terlalu bermotif politik dan ekstrem perkauman, rakyat tidak suka membaca perkara sebegini," katanya.
Dalam pada itu, beliau juga mempertikaikan kredibiliti dan kebertanggungjawaban akhbar tersebut yang seringkali kalah dalam kes-kes saman yang dikenakan kepada mereka sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Akhbar Umno itu sering berhadapan kes-kes saman daripada para pemimpin Pakatan Rakyat. Antaranya adalah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin daripada PAS.
Pada Januari lalu, Anwar menang kes saman terhadap Utusan Malaysia selepas hakim Datuk V.T. Singham mendapati akhbar tersebut memfitnah Anwar dalam dua artikelnya.
Mahkamah mendapati artikel itu tidak mengamalkan asas kewartawanan bertanggungjawab dengan menerbitkan di muka hadapan akhbar itu tanpa mendapatkan kebenaran mengenainya.
Pada Februari lalu, Mahkamah Rayuan menyokong keputusan Mahkamah Tinggi bagi mengarahkan Utusan membayar RM200,000 dalam satu artikel memfitnah setiausaha agung DAP.
Kolumnis Utusan Malaysia Datuk Chamil Wariya dan Utusan Malaysia juga pernah membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Kok berhubung satu saman fitnah yang dikemukakan.
Mohamad Nizar juga berjaya dalam proses samannya RM250,000 kepada Utusan Malaysia berhubung isu pendaftaran kenderaan WWW 1 yang dibeli oleh Sultan Johor.
Menurut Zairil, ia adalah satu perkara tidak bertanggungjawab apabila menyalahkan pengiklan semata-mata kerana mereka tidak membuat iklan dengan Utusan Malaysia, sebaliknya para pengiklan juga perlu menimbangkan beberapa perkara terutamanya persepsi pengguna dan kesan kepada produk mereka sekiranya iklan dikeluarkan oleh akhbar yang sentiasa memainkan isu sensitif.
"Pengiklan juga tidak mahu dikaitkan dengan Utusan kerana berita-berita yang mereka keluarkan," katanya.
Dalam pada itu, Zairil juga mempersoalkan kewajaran para pemimpin Umno yang membuat gesaan sedemikian kerana menurutnya adalah satu bentuk salahguna kuasa oleh parti politik yang seolah-olah memaksa GLC membuat iklan dengan akhbar tersebut.
"Daripada sudut lain, saya lihat ini satu bentuk salahguna kuasa.
"Mengapakah hanya akhbar milik Umno dan parti politik tertentu sahaja dibantu... bukankah ini tidak adil, bagaimanapun pula dengan akhbar yang lain?" soal Zairil.
Zairil merupakan anak kepada bekas pemimpin kanan Umno Tan Sri Khir Johari.
Utusan Malaysia merupakan sebuah akhbar berbahasa Melayu terbitan Utusan Melayu (M) Berhad.
Menurut laporan Audit Bureau of Circulations pada 2004 jualan harian akhbar Utusan Malaysia adalah sebanyak 256,247 naskhah tetapi pada 2009 jualan harian akhbar itu menjunam ke 169,548 naskhah sehari. - 10 November 2013.
Post a Comment