Home » , , , , » Mohamed Hanipa Maidin: ...Bagi peluang Alvin, Vivian tebus kesalahan

Mohamed Hanipa Maidin: ...Bagi peluang Alvin, Vivian tebus kesalahan

Written By Unknown on Wednesday 17 July 2013 | 21:04

Harakahdaily,18 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin meminta umat Islam memberikan peluang kepada pasangan remaja Alvin dan Vivian untuk menebus kesalahannya.

"Islam, saya yakin, juga agama rahmah. Di dalam Al Quran juga Allah menyatakan bahawa Allah telah menulis untuk DiriNya rahmah (belas ikhsan).

"Maka oleh itu saya rasakan tidak salah bagi umat Islam untuk menerima kemaafan kedua pasangan remaja itu dan memberi mereka peluang untuk tidak lagi mengulangi perbuatan biadap mereka itu," kata Hanipa dalam kenyataannya.

Berikut adalah kenyataan penuh Hanipa.


BAGI PELUANG ALVIN DAN VIVIAN MENEBUS KESALAHAN


Banyak kenyataan dibuat yang meminta pasangan remaja Alvin dan Vivian berkenaan dengan tindakan mereka yang dilihat menghina agama Islam.

Yang terbaru mereka telah dikatakan meminta maaf di atas ketelanjuran mereka itu.

Ramai yang mendesak mereka dikenakan tindakan undang undang termasuk didakwa di bawah Akta Hasutan 1948.

Pendapat peribadi saya sebarang perbuatan menghina mana mana agama apatah lagi Islam adalah satu perbuatan yang terkutuk.

Ia tidak sewajarnya dilakukan oleh mana mana orang yang waras.
Islam tidak benarkan pengganutnya menghina agama atau kepercayaan orang lain kerana penghinaan itu  membuka ruang kepada penghinaan Islam itu sendiri.

Atas prinsip umum itu kita boleh mengerti mengapa orang Islam dan saya yakin majoriti pengganut bukan Islam di negara ini juga tidak dapat menerima tindakan pasangan remaja non muslim itu.

Namun Islam, saya yakin, juga agama rahmah. Di dalam Al Quran juga Allah menyatakan bahawa Allah telah menulis untuk DiriNya rahmah (belas ikhsan).

Maka oleh itu saya rasakan tidak salah bagi umat Islam untuk menerima kemaafan kedua pasangan remaja itu dan memberi mereka peluang untuk tidak lagi mengulangi perbuatan biadap mereka itu.

Saya percaya mereka sudah cukup terseksa dengan luahan kemarahan umat Islam di negara ini. Itu sudah cukup, bagi saya, menjadi hukuman perit ke atas mereka.

Saya rasa ugutan bunuh ke atas mereka, jika benar berlaku, adalah bukan anjuran Islam. Tentang sama ada pihak berkuasa akan mendakwa mereka itu kita tidak boleh campurtangan.

Namun saya rasa tidak perlulah mereka didakwa di bawah Akta Hasutan kerana Akta itu sendiri sudah banyak menzalimi rakyat negara ini.

Jika mereka didakwa di bawah Akta Hasutan kerana menghina Islam tidakkah pasangan remaja ini juga akan merasa bahawa ada diskriminasi dan ketidakadilan ke atas mereka.

Ini kerana orang Islam yang ingin bakar Bible dan menghina anutan orang Hindu tidak didakwa sehingga kini. Adakah ini keadilan? Tidak malukah kita kepada orang bukan Islam apabila kita sendiri gagal bersikap adil?

Di mana keadilan yang juga menjadi prinsip utama ajaran Islam hendak kita campakkan?

Bagilah peluang kedua kepada mereka berdua. Mereka adalah remaja yang mudah tergelincir. Percayalah Islam tidak akan dilemahkan dengan penghinaan mereka berdua dan Islam juga tidak dikuatkan hanya kerana kita melaung kuat untuk menghukum mereka di bawah Akta yang zalim seperti Akta Hasutan.

Dekatilah mereka dengan lemah lembut dan berhemah supaya segala keraguan mereka atas agama ini dapat dipadamkan dari benak pemikiran mereka.

Dalam seerah Rasulullah s.a.w pernah berlaku seorang penyair bukan Islam  yang suka menghina Nabi Muhammad s.a.w dan Syaidina Umar r.a meminta izin dari Rasulullah s.a.w untuk mencabut gigi penyair itu. Rasulullah s.a.w tidak benarkan. Dipendekkan cerita akhirnya penyair itu memasuki Islam dan mengguna bakatnya pula untuk menyebar ajaran Islam.

Wallahu a'lam.



Mohamed Hanipa Maidin
Ahli Parlimen Sepang.
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. String of Analysis - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger