Home » , , , , , » Alvin, Vivian, Zulkifli Noordin dan lain-lain mesti diambil tindakan - Aspan Alias

Alvin, Vivian, Zulkifli Noordin dan lain-lain mesti diambil tindakan - Aspan Alias

Written By Unknown on Friday 19 July 2013 | 03:21

JULY 19, 2013
Pada waktu negara sedang menghadapi ketandusan kepimpinan ini, banyak isu dan perkara yang tidak berpatutan timbul hasil daripada kekurangan kepimpinan itu. Segala cita-cita perjuangan negara bukan sahaja terbantut malahan keadaan bertambah buruk dan menakutkan.
Semua bercakap isu yang mereka tidak memahami dengan betul atau bercakap tanpa kejujuran. Isu penyatuan kaum adalah isu besar yang disebut semua pihak baik dari pihak kerajaan mahu pun pembangkang, tetapi tidak ada satu pun yang jujur mengenai perjuangan yang mereka laungkan.
Sekarang timbul isu besar lagi. Isu hasil kelakuan nakal sepasang anak muda, Alvin Tan dan Vivian menjadi isu dan semua pihak bercakap, tuduh menuduh di antara satu dengan lain sehingga menjadi panas dan membosankan. Keadaan semakin merumitkan sampaikan tidak siapa lagi yang boleh memberikan punca kenapa keadaan politik ini menjadi sebegini rupa.
Saya percaya jika ada satu pihak yang lebih betul dari pihak yang lain tentu perkara seperti ini tidak akan berlaku. Jika ada pihak yang betul tentu ramai akan memihak kepada yang betul kerana di situ 'sanctuary' kepada rakyat yang sedang dalam pencarian. Isu seperti ini bersabit dengan kepimpinan, sama ada pimpinan lemah atau pimpinan tidak jujur atau oleh kerana kedua-duanya sekali.
Jika perkara tidak serius masakan pasangan Alvin dan Vivian ini boleh melakukan perkara sejahat yang mereka lakukan terhadap agama kita? Tetapi keburukan yang sangat jahat dilakukan oleh pasangan muda ini tentu bersebab. Mesti ada puncanya. Kenapa mereka yang masih muda sudah pandai menyentuh dan menyakitkan kita dengan provokasi yang mereka lakukan itu?
Puncanya itulah yang wajib kita fahami dan perbaiki. Kalau kita lihat dan pandang betul-betul, mereka yang menjadikan isu ini lebih panas ialah nama-nama seperti Zulkifli Noordin, Bung Mokhtar dan beberapa orang lain dalam mana nama-nama ini adalah yang tergolong kepada 'tin-tin kosong' yang tidak mampu memberikan tambah nilai kepada politik negara kita.
Betul, mengambil tindakan terhadap pasangan muda ini adalah amat wajib kerana tidak ada siapa yang beragama akan merestui perlakuan mereka. Tetapi saya tidak salah jika saya katakan keadaan ini berlanjutan kerana pihak yang mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan itu tidak bersikap adil. Kenyataan mereka seperti Zulkifli Noordin, Ibrahim Ali dan ramai lagi yang bersifat provokatif terhadap agama lain tidak pula diambil tindakan.
Selagi sikap berat sebelah pihak penguasa dan mengambil tindakan secara 'selective' maka selagi itulah isu seperti ini akan berlaku tanpa henti. Sekarang budaya provokasi antara agama sudah berlarutan dan ini tidak akan selesai selagi tidak ada tanda pihak berkuasa berkemampuan untuk bersikap adil dan saksama.
Seperti ibu-bapa yang mempunyai sikap 'limau masam sebelah' terhadap anak-anak, kerukunan keluarga itu tidak akan tercapai. Tidak akan aman keluarga yang kita pimpin jika kita sendiri mempunyai sifat 'limau masam sebelah' itu. Anak tidak akan aman dan tidak akan menghormati antara satu dengan lain dalam keluarga itu.
Sebagai penguasa kepada keluarga kita mesti mempunyai kesabaran yang tinggi. Jika marah tidak boleh ditunjukkan marah kita secara berlebihan. Bak kata orang tua-tua, 'jika harimau yang ada di dalam diri kita, kita keluarkan kambing'. Kita mesti mampu untuk menyejukkan keadaan.
Tetapi dalam isu Alvin dan pasangannya ini, semua pihak memanaskan keadaan sehingga orang yang bergelar Ahli Legislatif seperti Bung Mokhtar bercakap lebih cepat daripada berfikir. Beliau menuduh seorang ahli Parlimen yang lain bertanggungjawab atas perlakuan Alvin dan pasangannya itu. Ini adalah satu tindakan amat memalukan bukan sahaja kepada kita yang mendengarnya tetapi sepatutnya ia juga akan memalukan dirinya sendiri.
Bagi saya 'by all means' pasangan Alvin dan Vivian ini mesti diambil tindakan. Tetapi kita juga ingin melihat Zulkifli Noordin juga diambil tindakan sama kerana beliau melakukan kerja lebih buruk daripada pasangan muda ini dalam isu provokasi agama ini.
Tetapi Zulkifli Noordin tidak diambil tindakan malah diberikan pula penghormatan parti untuk menjadi calon bagi parti pemerintah dalam pilihan raya lalu. Tindakan memberikan kestimewaan terhadap Zulkifli ini adalah tindakan 'beyond comprehension' bagi mereka yang mempunyai pemikiran walaupun serendah mana pun pemikiran mereka.
Tidak ada pihak yang befikir dan bertindak secara jujur. Jika ada yang jujur dan meyakinkan, keadaan seperti ini tidak akan terjadi. Sebelum pilihan raya baru-baru ini ada pihak memanaskan isu kalimah Allah yang begitu sensitif walaupun pilihan raya sudah hampir tiba. Entah kenapa isu itu ditimbulkan dalam ucapan rasmi dan ini menjadikan isu keagamaan itu tidak mampu dikawal sehingga hari ini.
Pendeknya tidak ada pihak yang boleh diharapkan untuk menjadi penyelesaian terhadap isu perpecahan  kaum dan agama ini. Semuanya bermain politik kepartian yang tidak ada tolok bandingnya. Masing-masing hanya mengeluarkan kenyataan yang boleh menghasilkan keuntungan bagi parti dan kehendak peribadi masing-masing.
Setakat ini tidak ada satu pihak pun yang berkemampuan menjadi sandaran dan harapan untuk melakukan penambahbaikan terhadap isu sensitif agama dan perkauman ini.
Masing-masing mendapat kejayaan atas keperitan orang lain dan ini tidak akan kekal lama. Kebenaran akan timbul juga akhirnya secara 'natural'. Sikap bohong itu adalah  sifat mustahil bagi Tuhan yang maha adil dan saksama itu. Kita tunggu sahaja. “God tells no lies”. – aspanaliasnet.blogspot.com, 19 Julai, 2013.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. String of Analysis - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger