KUANTAN- Sebuah premis di tingkat satu bangunan rumah kedai di Jalan Bukit Ubi di sini dipercayai dijadikan pejabat operasi kumpulan ajaran sesat diketuai seorang lelaki Harun Mat Saat, 46 atau 'Tuhan Harun' yang ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) bersama 30 pengikutnya, 5 April lalu.
Kira-kira jam 3.30 petang semalam, kelihatan beberapa pegawai penguat kuasa Jaip menyerbu premis tersebut dan menahan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an disyaki anggota kumpulan ajaran sesat itu.
Menurut sumber, hasil serbuan ke atas premis itu, pihak Jaip menemui dan merampas pelbagai bahan bercetak yang boleh dikaitkan dengan ajaran kumpulan terbabit.
“Berdasarkan kandungan bahan bercetak itu, kita percaya isi kandungannya jelas bercanggah dengan ajaran Islam dan dipercayai untuk diedarkan kepada pengikut,” katanya.
Sumber itu juga memaklumkan, selain dijadikan pejabat operasi, premis itu juga digunakan sebagai tempat mencetak risalah berkaitan ajaran Tuhan Harun atau Tuhan 2013 untuk diedarkan kepada ahli.
“Dalam pemeriksaan itu, kelihatan sebuah mesin pencetak yang dipercayai digunakan untuk mencelah risalah turut dirampas,” katanya.
Pegawai Jaip bagaimana pun gagal dihubungi untuk mengesahkan berhubung serbuan dan rampasan tersebut.
Harun yang dipercayai tersenarai sebagai individu paling dikehendaki Bank Negara Malaysia (BNM) kerana terbabit dalam beberapa siri kes penipuan sejak 2010 ditahan ketika menjalani ritual songsang di sebuah premis, Lorong Pandan Damai, di sini, kira-kira jam 6.30 petang 5 April lalu.
Berdasarkan laporan akhbar sebelum ini, lelaki itu sudah merekrut lebih 100 pengikut terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan latar belakang termasuk doktor dan ahli perniagaan.
Kumpulan terbabit dikatakan mengamalkan ajaran sesat dengan melakukan ritual bermain muzik secara ‘live band’ setiap kali pertemuan diadakan pada waktu senja.
Pada 9 April lalu, Harun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan atas tuduhan menipu kontraktor membabitkan pembelian saham di sebuah pusat komersial di Sungai Buluh, Selangor membabitkan kerugian RM200,000.
Dia mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan jaminan RM7,000 bagaimana pun tidak dapat dipastikan sama ada Harun menjelaskan jaminan tersebut atau berada dalam tahanan reman di Penjara Penor.
Pengikut 'Tuhan Harun' ditahan
Written By Unknown on Tuesday, 12 November 2013 | 13:41
Labels:
AGAMA,
Agama (Akidah),
Pahang,
Pantai Timur
Post a Comment