Home » , , » ISA: Tiada khabar gembira selain pembebasan awal

ISA: Tiada khabar gembira selain pembebasan awal

Written By Unknown on Wednesday 17 July 2013 | 21:36

KUALA LUMPUR: Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menyambut baik mengenai ‘berita baik’ yang bakal diterima oleh tahanan ISA dan keluarga tahanan ISA yang diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri pada 11 Julai lepas.

“Walaupun tidak menjelaskan secara lanjut mengenai berita gembira tersebut, namun Suaram mengambil positif dan berharap agar berita baik itu ialah pembebasan serta merta kesemua baki tahanan ISA bersempena ketibaan Hari Raya Aidil Fitri,” ujar Penyelaras Suaram, Syukri Razab dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Kenyataan penuh seperti di bawah.

Suaram menyambut baik mengenai “berita baik” yang bakal diterima oleh tahanan ISA dan keluarga tahanan ISA yang diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri pada 11 Julai lepas.

Walaupun tidak menjelaskan secara lanjut mengenai berita gembira tersebut, namun Suaram mengambil positif dan berharap agar berita baik itu ialah pembebasan serta merta kesemua baki tahanan ISA bersempena ketibaan Hari Raya Aidil Fitri.

Suaram ingin menyatakan kepada Menteri Dalam Negeri bahawa tidak ada khabar gembira untuk tahanan ISA selain daripada pembebasan serta merta kesemua tahanan yang masih dikurung di Kem Tahanan Kamunting.

Sekiranya ini berlaku, Suaram ingin mengucapkan sekalung tahniah kepada Menteri Dalam Negeri kerana mendengar dan menghormati tuntutan rakyat.

Sejak pengumuman ISA akan dimansuhkan oleh Perdana Menteri pada 16 September 2011,  Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) secara konsisten terus menyampaikan suara rakyat kepada Bekas Menteri Dalam Negeri, Dato Seri Hishammuddin Tun Hussein bagi mendesak pembebasan segera kesemua tahanan ISA.

Berdasarkan rekod Suaram, masih terdapat 13 orang tahanan ISA yang belum dibebaskan. Daripada jumlah tersebut, 7 orang warga tempatan, 2 orang warga Sri Lanka, 3 orang warga Filipina dan seorang warga Indonesia.

Suaram beranggapan pembebasan kesemua tahanan ISA tidak boleh dianggap sebagai hadiah atau bonus daripada Kerajaan kepada tahanan dan keluarga tahanan ISA.

Hal ini kerana pembebasan itu merupakan satu tanggungjawab yang sepatutnya sudah lama dilakukan oleh pihak Kerajaan. Pemansuhan ISA merupakan signifikan jelas yang menunjukkan Kerajaan akur kepada kehendak rakyat yang menuntut agar akta zalim ISA dimansuhkan.

Oleh itu tindakan Kerajaan membiarkan baki tahanan ISA terus dikurung dibawah akta zalim yang telah dimansuhkan merupakan satu tindakan yang tidak masuk akal.

Sekiranya tahanan ISA dibebaskan menjelang Hari Raya Adil Fitri ini,  Suaram mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pihak kerajaan khususnya Menteri Dalam Negeri kerana melaksanakan tanggungjawab yang sepatutnya telah lama dilakukan.

Suaram juga berpendirian bahawa tanggungjawab Kerajaan bukan sekadar membebaskan tahanan, tetapi Kerajaan juga perlu menyiasat segala dakwaan penyeksaan yang telah dilakukan pihak Polis terhadap tahanan ISA dan mengheret mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Kerajaan juga perlu sedar betapa ISA bukan sekadar menzalimi tahanan, tetapi juga telah menyebabkan keluarga tahanan dihimpit kesusahan. Kebanyakan isteri tahanan ISA terpaksa mengambil alih peranan ketua keluarga dan berkerja mencari rezeki bagi menyara anak-anak yang masih kecil dan bersekolah.

Oleh itu, Kerajaan juga perlu membayar pampasan yang setimpal kepada kesemua keluarga tahanan ISA yang telah menanggung derita akibat akta zalim ISA.

Suaram juga ingin menyatakan kepada pihak Menteri Dalam Negeri, Sekiranya Kerajaan benar-benar ingin memberi "berita gembira" kepada tahanan ISA dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya, Kerajaan perlu memberi jaminan untuk tidak akan menggubal sebarang undang-undang pencegahan lain yang menghalalkan penahanan tanpa bicara seperti ISA dan EO.
Harakahdaily,18 Jul 2013

Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. String of Analysis - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger